![]() |
Salah seorang pekerja penyelenggaraan menunjukkan tangki air di Blok A yang bocor. |
KOTA DAMANSARA - Masalah vandalisme selain kecurian membabitkan alat ganti menjadi punca lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara gagal dibaik pulih mengikut jangka masa ditetapkan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, kehilangan kabel utama lif baru yang sedang dibaik pulih menyebabkan usaha berkenaan terbantut.
“MBPJ telah memberikan tender kerja penyelenggaraan kepada Syarikat MS Elevators Engineering Sdn Bhd, namun ianya tergendala berikutan kabel utama di setiap lif yang sedang dibaik pulih dicuri,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Beliau berkata, sebanyak RM973,393 telah diluluskan untuk membaik pulih kerosakan lif membabitkan 12 lif di empat blok, manakala RM197,600 lagi untuk membeli pam air baru.
Bajet berkenaan katanya, diluluskan perbendaharaan Selangor susulan daripada lawatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Oktober tahun lalu.
Dalam perkembangan sama, Roslan turut meluahkan rasa kesal akan kejadian vandalisme dan kecurian yang berlaku di PPR berkenaan yang menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa berbelanja besar untuk menyelenggara semua kemudahan di kawasan perumahan itu.
“Kita harap penyewa menghargai dan menjaga kemudahan di PPR berkenaan agar ianya terus dapat digunakan,” katanya.
Difahamkan, kecurian yang berlaku turut menyebabkan kerugian yang terpaksa ditanggung mencecah angka jutaan ringgit.
Untuk rekod, sebanyak 957 rumah disewa daripada 1,152 unit rumah yang ada di blok berkenaan.
Roslan berkata, untuk mengatasi masalah kecurian kabel dan komponen lif, MBPJ kini dalam proses untuk memasang pintu besi di bilik motor lif bagi mengelak kecurian berulang sebelum meneruskan kerja baik pulih yang dijangka siap dalam tempoh sebulan setengah lagi.
“Jangan salahkan kami jika kerja baik pulih ini tergendala, tetapi sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin, kita sudah buat sehabis daya untuk memastikan penyewa mendapat keselesaan dan kemudahan terbaik.
“Tanggungan hutang sewa tertunggak di PPR Kota Damansara ini sahaja sudah mencecah RM2 juta, belum ditambah dengan lain-lain kos termasuk kegagalan untuk membayar bil air hingga menyebabkan tanggungan hutang kepada Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) agak tinggi,” katanya.
Sebelum ini Sinar Harian menyiarkan rintihan penduduk di PPR berkenaan yang kecewa apabila janji yang diberikan Kerajaan Negeri untuk membaik pulih perumahan itu dalam tempoh tiga bulan, gagal.
Tinjauan yang dibuat ke PPR berkenaan bersama pegawai MBPJ, semalam mendapati, hampir semua kabel yang mempunyai saduran perak dicuri dari bilik janakuasa elektrik.
Apa yang pasti, pencuri sanggup menanggung risiko untuk memotong wayar berkenaan yang menjadi punca bekalan elektrik terputus.
Tinjauan di beberapa unit kosong juga mendapati, rata-rata kawasan itu sudah dibersihkan, namun keadaan kembali kotor selepas ada pihak yang melonggokkan sampah baru.
Lebih membahayakan penduduk apabila tangki air utama yang terletak di tingkat atas blok juga menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
Hampir semua besi pengikat tangki dicuri menyebabkan berlaku kebocoran dan hanya menunggu masa untuk pecah. - SINAR HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan